Temui Mayat Adik di Dapur
Niat seorang abang untuk menziarahi adiknya bertukar hiba selepas menemui jasad yang sudah berbau dan berulat dalam kejadian di Kampung Chen...
http://mediafantasia.blogspot.com/2014/03/temui-mayat-adik-di-dapur.html
Niat seorang abang untuk menziarahi adiknya bertukar hiba selepas menemui jasad yang sudah berbau dan berulat dalam kejadian di Kampung Chengal, Ketereh, di sini kelmarin.
Mayat Rogaya Hassan, 40 ditemui abangnya dalam keadaan terlentang di bahagian dapur sebelum membuat laporan di balai polis Ketereh.
Abang mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia melawat adiknya enam hari lalu yang masih sihat selain mengakui mangsa mengalami masalah mental sejak 12 tahun lalu namun tidak menyangka adiknya meninggal dunia dalam keadaan sedemikian.
Beliau berkata, ketika tiba di rumah mangsa, dia terhidu bau busuk sebelum masuk ke rumah dan terkejut melihat jasad adiknya dalam keadaan terlentang dan berulat di bahagian dapur.
“Kali terakhir saya melawat dia enam hari lalu dan pada waktu itu dia masih sihat walaupun sentiasa kemurungan kerana mengalami masalah mental.
“Sebak melihat jasadnya dalam keadaan demikian dan tidak menyangka dia akan meninggal dunia seorang diri,” katanya.
Difahamkan mangsa anak bongsu daripada lima beradik itu tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak tujuh tahun lalu selepas berpisah dengan dengan suami dan dua anaknya yang kini berada di Johor Bharu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, punca kematian belum dikenal pasti, namun setakat ini tiada unsur jenayah jenayah disyaki berikutan tiada kesan kecederaan pada mangsa.