Top 10 Personaliti Berpenaruh Dunia Hiburan Malaysia 2013
Pencapaian karier muzik Yuna pada tahun 2013 di persada seni antarabangsa dianggap paling membanggakan. Di awal tahun 2013, beliau telah dil...
http://mediafantasia.blogspot.com/2013/12/top-10-personaliti-berpenaruh-dunia.html
Pencapaian karier muzik Yuna pada tahun 2013 di persada seni antarabangsa dianggap paling membanggakan.
Di awal tahun 2013, beliau telah dilamar syarikat antarabangsa, Verve Music Group yang dipengerusikan komposer popular, David Foster.
Album baru Yuna, Nocturnal telah dilancarkan Oktober lalu di bawah label Verve Music Group.
Seterusnya Yuna turut berganding bahu bersama artis Amerika Syarikat, Owl City membawa lagu Shine Your Way.
Lagu tersebut merupakan soundtrack untuk filem The Croods yang turut dinyanyikan semula oleh peserta-peserta American Idol 2013.
Satu lagi catatan manis yang telah dilakar apabila Yuna dan Owl City muncul dalam rancangan Tonight Show With Jay Leno dengan membawakan lagu Shine Your Way.
Yuna seterusnya membuatkan peminatnya di Malaysia bangga apabila muncul sekali lagi dalam rancangan Conan O’Brien dalam rangka promosi album barunya.
Belum habis tentang itu, Yuna dikatakan bakal muncul tahun hadapan di program Jimmy Kimmel Live pada Januari 2014.
Hebat di persada antarabangsa dan di tanah air sendiri, lagunya –Lelaki baru sahaja memenangi kategori utama Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke 20 baru-baru ini.
Selain itu kejayaan lagu ‘Terukir Di Bintang’ di Anugerah Juara Lagu ke 27 dan konsertnya yang julung kalinya diadakan di Istana Budaya turut disebut ramai.
Pendek kata tahun ini menjadi tahun yang baik untuk gadis bernama Yunalis Zarai.
Semoga terus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
Kumpulan Jozan yang dianggotai oleh Johan dan Zizan Razak sememangnya layak diangkat sebagai ikon lawak tahun ini.
Gandingan dua pelawak terus mendaki tangga populariti tahun demi tahun.
Keserasian mereka dilihat bermula apabila digandingkan sebagai pengacara rancangan Raja Lawak musim kedua sehingga kini.
Kemudian menerusi pertandingan Maharaja Lawak mereka bergabung membentuk kumpulan Jozan.
Jozan kemudian meniti kejayaan paling besar apabila dinobatkan sebagai juara di pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012, yang turut dibarisi nama-nama besar dalam arena komedi tanah air.
Semangat setiakawan dan silaturahim yang sangat kuat di antara Johan dan Zizan adalah antara sebab mengapa gabungan duo ini selalu menjadi pilihan peminat.
Sebagai bukti, mereka mendapat undian tertinggi peminat untuk memenangi ‘Best On Screen Chemistry Award’ di Shout! Award.
Antara yang paling menarik untuk pencapaian karier Siti tahun ini juga adalah peluang berduet bersama penyanyi tersohor dunia, Babyface pada majlis amal sempena Grand Prix Formula One 2013.
Seterusnya, menginjak ke pertengahan tahun Siti mengadakan konsert solo diiringi lebih 80 pemuzik bertaraf antarabangsa himpunan MPO di bawah pimpinan Kevin Field.
Selang dua bulan, Siti melunaskan impiannya mengadakan Konsert Lentera Timur iaitu konsert tradisional sepenuhnya di Istana Budaya (IB).
Jualan tiket di IB pecah rekod, ini membuktikan kewibawaannya sebagai penyanyi yang bukan sekadar mengalunkan lagu, tetapi penghibur sejati.
Bukan itu sahaja, untuk tahun ini Siti berjaya menerima dua anugerah iaitu Lagu Serantau Paling Popular dan Duo/Kumpulan Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2013 untuk lagu ‘Muara Hati’ duetnya bersama Hafiz AF.
Siti Nurhaliza juga diantara tiga nama besar menggalas tugas sebagai ‘inspirer’ untuk Akademi Fantasia musim ke 20 di samping Faizal Tahir dan Melly Goeslaw.
Siti turut terpilih untuk mewakili negara dalam konsert berprestij, Festival Muzik Asean di Jepun.
Tahun ini juga Siti dan produknya, Simplicity dilihat banyak membuat kerja-kerja amal membantu mereka yang tidak bernasib baik dibawah Kempen Simplicity.
Siti dilihat turut membantu dan mengumpul dana untuk pesakit jantung serta yang terbaru, beliau turun padang menghulurkan bantuan untuk mangsa banjir di Pahang.
Untuk tiga tahun berturut-turut, Hafiz mengungguli kategori Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).
Hafiz memulakan tahun 2013 dengan memenangi anugerah vokal terbaik untuk AJL 27 menerusi lagu ‘Ku Akui’ ciptaan Ajai.
Satu pencapaian yang baik untuk pendatang muda sepertinya di dalam industri seni.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz bin Mohd Suip, 23 turut melancarkan album keduanya ‘Luahan Hati Anak Seni’ pada tahun ini.
Single dari album tersebut - Bahagiamu Deritaku menjadi kegemaran dan siulan peminat.
Hafiz juga meraih gelaran Artis Serantau Paling Popular menewaskan nama-nama besar lain dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2013.
Hafiz berkongsi trofi dengan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza untuk kategori Lagu Serantau Paling Popular dan Duo/Berkumpulan Terbaik untuk lagu Muara Hati dalam acara yang sama.
Artis kelahiran Astro ini juga turut mendominasi anugerah Shout! Awards apabila beliau membawa pulang dua anugerah, Popstar Award dan Power Vocal Award.
Vokal Hafiz terbukti sukar ditandingi apabila memenangi Album terbaik menerusi album Luahan Hati Anak Seni dan kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) di Anugerah Industri Muzik yang ke 20.
Terbaru lagunya Bahagiamu Deritaku tersenarai di antara 12 lagu yang akan bertarung di Anugerah Juara Lagu Ke 28 (AJL28) tahun depan.
Mungkin tahun ini adalah tahun yang baik untuk Nora Danish, selain bertemu cinta hatinya, kariernya juga dilihat semakin berkembang.
Tahun ini juga melihat kemunculan paling banyak Nora di layar perak sebagai pelakon utama, antaranya adalah Lagenda Budak Hostel, Mencari Cinta, Dua Kalimah dan Suami aku Ustaz.
Mutu lakonan Nora juga nampak peningkatan berbanding seawal kemunculannya di industri seni.
Di media sosial, pengaruh ibu beranak satu ini juga terbukti apabila video gerakan Gwiyomi yang dirakam beliau di YouTube menjadi video nombor lima paling trending pada 2013.
Nora juga antara celebriti yang paling banyak pengikut di Instagram selain turut diangkat menjadi duta produk antarabangsa Uniqlo.
Selain dari kejayaan demi kejayaan yang diperolehinya, tahun ini juga Shila tidak dapat lari dari gosip cinta yang melanda dirinya.
Seperti semua sedia maklum, percintaan Shila dengan pelakon Sharnaaz Ahmad terputus di tengah jalan.
Namun begitu, kecemerlangan Shila dalam kerjayanya cukup membanggakan peminat-peminatnya.
Tahun lepas dia popular dengan lagu Patah Seribu, tahun ini sekali lagi Shila menyajikan lagu meletup – Masih Aku Cinta.
Pada masa yang sama, Warner Music Malaysia secara rasmi mengumumkan kerjasama dengan Shila Amzah Entertainment Berhad yang beroperasi di Malaysia dan di Shanghai, China.
Nama Shila juga popular di Shanghai setelah dia berjaya memenangi pertandingan rancangan realiti nyanyian Asian Wave 2012.
Selain pengiktirafan ini, Shila turut dicalonkan dalam tiga kategori dalam World Music Awards 2012/2013 - World's Best Female Artist, World's Best Entertainer of the Year 2013 dan World's Best LIVE Act 2013.
Shila juga dianugerahkan Anugerah Kembara pada Anugerah Industri Muzik ke 20 tahun ini.
Filem KIL, filem yang menampilkan teknik sinematografi hebat serta jalan cerita yang mengenepikan klise filem Malaysia bukanlah filem pilihan rakyat Malaysia ketika mula ditayangkan pada awal Februari tahun ini.
Biarpun gagal menang dari segi kutipan tiket, filem arahan Nik Amir Mustapha itu berjaya memenangi banyak anugerah sebagai menghargai kualiti yang ditampilkan pengarahnya.
Menerima empat anugerah daripada tujuh pencalonan asal termasuklah Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2013 membuktikan filem KIL bukan filem biasa.
Filem ini juga berjaya memenangi kategori ‘Breakthrough Local Feature Award’ di Anugerah Shout Award.
KIL yang merujuk kepada singkatan Akil atau kill, mengisahkan seorang pemuda bernama Akil (lakonan Redza Minhat) menghadapi kemurungan serta cenderung untuk membunuh diri.
Akil kemudiannya mula jatuh cinta pada seorang gadis yang baru ditemuinya, Zara (lakonan Cristina Suzanne) dan mula ragu-ragu tentang niat asalnya untuk membunuh diri.
Projek Ikal Mayang merupakan antologi 15 filem pendek arahan pengarah dari pelbagai latar belakang.
Projek besar ini dibuat sempena Hari Wanita Antarabangsa 2013 yang diraikan pada 8 Mac, namun hanya 10 daripada 15 filem tersebut yang diterima untuk disiarkan sebagai tontonan umum menerusi saluran televisyen.
Projek ini merupakan projek yang paling disebut-sebut tahun ini terutamanya di media sosial kerana ianya di hasilkan oleh 15 pengarah yang tidak kurang hebatnya.
Barisan sutradara ini antaranya pelakon terkenal tanahair seperti Datin Sofia Jane, Nanu Baharudin, Sharifah Amani, Fauziah Nawi, Mislina Mustaffa, Vanidah Imran, Dira Abu Zahar, Susan Lankester, Melissa Saila dan Ida Nerina.
Perjalanan Ikal Mayang bermula apabila seramai 800 orang bersama-sama meraikan Hari Wanita Sedunia 2013 dengan menghadiri tayangan Ikal Mayang.
Himpunan filem pendek yang menampilkan kisah wanita Malaysia ini juga telah ditayangkan ke layar antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Busan yang ke-18 (BIFF 2013).
Rasanya tahun ini nama Nabila Huda paling disebut-sebut apabila dia dilihat mula bersifat terbuka dan tidak lagi merahsiakan aktivitinya di mata peminat.
Nabila sememangnya tidak kisah dianggap liar atau dimarahi peminat apabila mula memuatnaik gambar-gambar percutiannya di media sosial dengan pakaian yang agak seksi.
Namun Nabila merasakan sudah tiba masanya dia mahu menjadi diri sendiri dan tidak lagi berselindung di hadapan peminat.
Disebalik kontroversi yang melanda, Nabila masih disokong peminat setianya apabila sering tampil dengan mutu lakonan yang semakin baik.
Bakatnya tidak perlu dipandang enteng dek kerana keberaniannya di media sosial.
Nabila turut memenangi anugerah Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012.
Tahun ini juga kebanyakkan drama lakonan Nabila menjadi antara yang paling banyak di tonton.
Antaranya adalah Jodoh Itu Milik Kita, Teduhan Kasih dan Sangkar.
Tahun ini nama Sharifah Amani atau dikenali sebagai Nani lebih menyerlah setelah satu masa dahulu pernah popular dengan filem Sepet.
Tahun ini selain berlakon filem, Nani menjadi salah seorang pengarah yang berkolaborasi menghasilkan filem pendek dalam projek Ikal Mayang.
Selain itu, Nani turut membintangi beberapa filem seperti Psiko: Pencuri Hati, Kolumpo dan Jalan Pintas.
Nani turut menjadi salah seorang juri tetap untuk rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke 10.
Turut terlibat dalam teater, Nani mencuba nasib berlakon di bawah arahan Nam Ron dalam teater 'Laut Lebih Indah Dari Bulan'.
SUMBER : ASTRO AWANI